Wednesday, December 5, 2012

Muhasabah Cinta




Wahai Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan, baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini, Ya Ilahi
Muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu.


Tuesday, October 30, 2012

Serpihan Kalbu... [1]

Assalamualaikum. Seperti yang dijanjikan untuk kawan-kawan yang ingin 'melihat' draft manuskrip (amin) saya. Maaf terlalu lambat mengeposkan entri kat sini ye.. Dan tajuk cerita ni masih 'kelabu', tak tahu nak letak apa tajuknya.. Mohon kerjasama rakan-rakan..hee~.. Nak kritik, kritik je tau!


SERPIHAN KALBU
[NOT EDITED VERSION]

Dia berlari dan terus berlari. Awalnya hanya berlari santai. Kemudian dicepatkan sedikit. Kemudian dicepatkan lagi. Lagi. Lagi dan lagi. Seakan berlari melepaskan semua yang ada; kalaulah semua itu mampu. Lariannya diperlahan. Dia mengah sendiri. Ah, lamanya tidak berjoging! Walaupun hakikatnya dia bukanlah berjoging, melainkan berlari seolah-olah mewakili pertandingan larian olimpik di taman ini. Keseorangan.

Akukah yang salah
Membiarkan jiwa ini gersang terbelah
Membiarkan hati menerjang
Meraung kelelahan


Telinganya menangkap alunan gitar yang tidak tentu nadanya berserta suara... Langkah larian dihentikan. Mencari-cari punca.

Akukah yang lemah
Menghanyutkan diri di perahu
yang karam
Dek kealpaan mencengkam
Lemas dalam air yang kehausan

Kemudian matanya menangkap sosok seorang gadis yang tidak jauh di hadapan. Berdekatan dengan sepohon pokok yang hidup segan mati tidak mahu. Pokok yang hanya tinggal batangnya sahaja. Gadis itu menyandang sebuah gitar, sambil bibirnya mengalunkan bibit-bibit kata. Sangkanya gadis itu sedang menyanyikan lagu; busking seperti yang pernah dia lihat di mana-mana. Tetapi bila dia mulai mendekat, dia terkedu. Gadis itu sedang mengalunkan puisi!



Akukah itu
Dalam kehinaan pabila
Kokokan ayam menjerit
Menjalar hingga berlabuhnya
tirai malam yang kelam

Waktu masih pagi. Matahari baru sahaja malu-malu memunculkan diri. Mana ada orang yang berjoging dan yang lalu-lalang di situ ingin mendengar patah demi patah apa yang dideklamasikan. Setakat pandang dua kali kerana pelik, adalah kut.



Sampai kapan
Aku harus begini
Membina tiang-tiang dosa
Membelit diri.


Dengan penuh penghayatan (rasanyalah-kut), gadis itu menoktahkan puisinya. Hanya dia seorang yang tercegat di trek joging selang lima langkah daripada gadis itu berdiri. Gadis berwajah pucat itu memakai pashmina hitam dan sweater labuh berwarna hijau daun serta memakai jeans lusuh yang nampaknya extra large. Berserta kasut sukan. Pelik.

Barulah dia perasan, rupanya di sebelah gadis itu, seseorang sedang duduk santai bersila. Mungkin kawan gadis yang berpuisi tu kut. Dia memakai tudung bawal biru lepas bawah dan juga memakai t-shirt lengan panjang dan track suit hitam.

Memandangkan hanya dia yang baru sahaja lepas berlari yang tercegat di hadapan mereka, dengan janggal dan spontannya dia bertepuk tangan; menghilangkan kejanggalan dan kesunyian yang tiba-tiba menyapa apabila gadis berdua itu memerhatikannya.

"Nice poem!" Dia berbasa-basi. Padahal dia tidak mendengar sepenuhnya pun sajak atau puisi entahkan gurindam yang didengarinya tadi.

Gadis bertudung bawal yang sedang duduk itu cuma tersenyum kepadanya. Ya, hanya gadis itu yang senyum, gadis berpashmina hitam di sebelahnya yang sedang berdiri itu tiada ekspresi, dan bagaikan dia tiada di situ, gadis itu perlahan duduk bersandarkan pokok di belakangnya dengan memegang gitar sambil memejamkan mata.

"Aku Rauf, tinggal di kawasan ni aja." Dia memperkenalkan diri secara tiba-tiba. Gadis berpashmina hitam itu mencelikkan matanya perlahan-lahan. Kawan sebelahnya tersenyum.

"Ifah." Sepatah gadis bertudung bawal biru memperkenalkan diri. Jari telunjuknya diarahkan kepada gadis berpashmina hitam. "Dia ni Safi."

Rauf mengangguk. Dia memandang ke arah Safi, gadis berpashmina hitam itu yang seperti memandang jauh ke hadapan, bukan ke arahnya. Tiba-tiba mata gadis itu beralih menikam ke arahnya.

"Erm, gerak dulu ya. Selamat jalan." Rauf mengundur diri. Ada umur, jumpa lagi. Desisnya dalam hati.

"Selamat jalan, Raf." Tiba-tiba si Safi yang ala-ala sombong saya-tak-nak-kenal-awak tadi tu mengucapkan selamat jalan. Tapi wajah Safi masih seperti tadi. Tiada ekspresi, bagaikan tiada emosi. Rauf menjungkit alis kirinya.

"It's Rauf, not Raf." Senyum. Namun, belum sempat pun dia melangkah, sesuatu melintas di kepalanya.

"Erm, boleh nyanyikan satu lagu?"

Meledak Ifah ketawa. Safi menepuk peha Ifah, matanya memberi ekspresi; Ifah, behave! Ifah hanya menyeringai setelah berusaha menutup mulutnya daripada terus ketawa. Rauf tertanya, apa yang lucunya?

"Safi tak menyanyilah.. Aku pun lagilah tak. Safi cuma mendeklamasi sajak dan puisi aja." Terang Ifah dengan sisa-sisa tawanya.

Peliknya, fikir Rauf.

"Sajak apa yang biasa kau baca? Cinta? Rindu? Benci?" soal Rauf ingin tahu. Soalannya disasarkan kepada Safi yang tidak memandangnya. Namun seperti biasa, Ifah yang menjawab.

"Sajak pasal kemanusiaan. Keagamaan. Muhasabah diri. Pasal hidup pun ada." Ifah menyeringai.

"Kenapa?" Meluncur laju pertanyaan daripada mulut Rauf. Ya, kenapa? Pelik, gadis berpuisi di pagi hari di sebuah taman tempat orang-orang lalu-lalang dan joging.

"Untuk dakwah." Ifah ringkas menjawab.

"Dakwah?" Dia makin tidak faham. "Dengan puisi? Itu dikatakan dakwah?" Rauf memerhatikan kembali Ifah dan Safi.

"Ya. Dakwah itu seni, Encik 'Raf'." Kali ini Safi bersuara, memandangnya. Menyeringai aneh.


Tuesday, October 16, 2012

Final

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, akhirnya tergerak juga jari jemari untuk menulis lagi di blog yang hampir usang ni. Baru sahaja selesai final exam semester 1 sejak 12 Oktober baru-baru ni. Dan baru sahaja selesai exam MUET for speaking pagi tadi. Alhamdulillah, moga cemerlang hendaknya. Amin =)


Almost 4 full months living in Uitm Shah Alam. Studying in Faculty of Law. It's not bad so far. Now I'm  missed Kolej Mawar, Teratak Coklat and Cempaka buildings. =')

Fuih, macamlah tak akan datang balik semester 2 nanti..huhu.. Insya-Allah kalau dipanjangkan umur.. Bulan Ramadan sangat busy nak uruskan surau memandangkan masa tu kak-kak degree tengah cuti semester. Terawih dan moreh memang kamilah yang handle. Selepas Ramadan pula cuti syawal yang memang hanya dalam 10 hari, dan balik ke Shah Alam dengan due yang dekat dengan final exam. Memang blog ni diabaikan terus la.. huhu.

Tapi sangat banyak events yang menarik yang saya ingin kongsikan di sini sepanjang 'kebisuan' blog ini berlangsung. Chewah!

So, insya-Allah will update on the next entry =)


Sunday, August 5, 2012

Roh Ramadan

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, it's Ramadan =). Fasting. Tarawih. Lailatul qadr. Tadarus. Sahur. etc.

I missed home. I missed Terengganu.

[culikfromabir]

Baru-baru ni beberapa hari sebelum Ramadan, seperti biasa ada pengisian antara maghrib dan isyak. Waktu tu kakak-kakak degree sudah start cuti sem, jadi ramai yang dah balik. Jadi aktiviti pada hari itu diuruskan oleh kami. Seorang sahabat berkongsi cerita;

Kawan dia bertanya, kenapa semua orang macam tak sabar-sabar untuk menghadapi bulan Ramadan, tapi dia rasa macam tidak ada rasa apa-apa dalam hati dia. Tiada rasa teruja untuk menyambut Ramadan. Rasa macam biasa sahaja; tiada yang istimewa.

Dan sahabat ini pun memberi pengajaran dan peringatan kepada jiwa-jiwa yang menghadiri bulatan gembira di Teratak Coklat pada hari itu; bahawa di samping kita ingin menghadapi bulan Ramadan ini, kita perlukan penghayatan terhadap Ramadan. Muhasabah. Check balik hati.

Ramadan bukan sama seperti bulan-bulan Islam yang lain. Ramadan lebih special. Rugilah bagi sesiapa yang merasakan Ramadan itu sama sahaja seperti bulan yang lain. Tiada apa peningkatan pun yang dilakukan sewaktu Ramadan.


Di Sini Dapat Menilai


Kalau dulu, sewaktu berpuasa di rumah, satu keluarga akan pergi terawih bersama-sama. Pergi ramai-ramai.   8 rakaat, 20 rakaat di surau mahupun masjid-masjid. Kalau di asrama tu, setiap malam akan ada terawih berjemaah di surau sekolah. Wajib sertai lagi tu.

Tapi, bila dah masuk alam universiti, bila semuanya bergantung pada diri sendiri, terawih sudah entah ke mana. Di sini tiada siapa yang akan menyuruh atau memaksa atau mengajak kita. Kalau ada yang ajak, itu masih bergantung pada diri kita sama ada hendak menerima atau menolak. We make the decision. Di sini kita boleh reflect balik, selama ini kita melakukan ibadah, kerana Allah atau kerana manusia atau kerana BUDAYA semata-mata?

Bila kita tidak menghayati roh Ramadan, kita tidak akan nampak apa yang istimewanya Ramadan ni.

Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya’aban: Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul- Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah s.w.t. telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.

Jangan kita sia-siakan ganjaran dan fadhilat yang ditawarkan oleh Allah pada bulan Ramadan. Janganlah kita menjadi orang-orang yang rugi.

"Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata; 'Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu'. Aku mengucap: 'Amin'. 'Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukkan ke syurga'. Aku berkata: 'Amin'. Jibril berkata lagi: 'Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya'. Lalu aku mengucapkan 'Amin'." 

[Hadis Riwayat Ahmad]

Janganlah kita berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Kita inginkan yang terbaik dalam hidup, kenapa kita tidak ingin mencapai taraf yang terbaik di sisi-Nya?


Curilah masa untuk Allah


Sesibuk mana pun kita dengan tests, assignments, exam, kuiz dan homeworks, jangan jadikan itu alasan untuk kita tidak mempunyai masa untuk bercinta dengan Dia pada bulan Ramadan ini. Kalau kerja manusia kita boleh selesaikan dengan sempurna, why not with Allah?

Ada masa saya pun terasa berat, apabila ada tugasan banyak yang perlu dihadapi untuk disiapkan. Namun, disebabkan adanya sahabat-sahabat di sisi yang saling mengingati, yang menunjukkan teladan yang masya-Allah, bersungguh dalam menghidupkan Ramadan, hati terasa tercabar. Kalau dia boleh, kenapa bukan aku? Hati berbisik.

Ingatlah, Allah memandang kualiti, bukannya kuantiti. Jika hari itu kita rasa kita hanya mampu untuk tunaikan solat sunat terawih hanyalah 2 rakaat dan membaca al-Quran hanya sehelai muka surat, maka lakukanlah. Yang pentingnya istiqamah (berterusan) dan sentiasa berniat untuk improve-kan diri. Allah sahaja yang berhak menilai sejauh mana hati kita ikhlas ketika itu.

Selamat Beribadah

[culikfromabir]

Ramadan itu pesta ibadah, bukannya pesta juadah, bak kata seorang sahabat. Jangan disebabkan berbuka puasa di luar, kita lewat mengerjakan solat Maghrib, atau terlepas terus Maghrib. Berbuka itu penting, tetapi menjaga solat itu jauh lebih penting.

Selamat beribadah. Mohon maaf atas segala salah dan silap.

Wallahu'alam.


Wednesday, July 18, 2012

Moga Rohmu Tenang Di Sana

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Sejurus pagi tadi saya mendapat berita yang menggetarkan hati. Ketika itu berada di dalam PTAR untuk Hands on Training. Cell phone bergetar menandakan mesej masuk. Daripada Hajar.

Cikgu Rohaya telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Al-Fatihah.

Terkedu. Hati mempertikai. Betul ke? Sahih ke berita ni? Tup tup, handphone saya mati kerana kehabisan bateri, tidak sempat hendak membalas mesej untuk bertanya lebih lanjut. Mata terasa basah. Fokus di dalam Pusat IT di perpustakaan itu dicuri dengan berita yang baru diterima.

Seribu pertanyaan menusuk ke minda bertalu-talu. Cikgu meninggal? Kenapa? Sakitkah? Accident? Atau ada kaitan dengan pembedahan tahun lepas yang cikgu hadapi tu?

Kemudian memori-memori lalu bersama Cikgu menerpa.

Pernah suatu ketika pada tahun lepas, saya berjumpa dengan Cikgu untuk mengadu dan meminta nasihat untuk membahagikan masa antara tugas dan akademik. Cikgu Rohaya ni guru kaunseling sekolah. Hubungan saya dan arwah rapat, sejak saya tingkatan 3 lagi. Arwah merupakan guru pengiring pasukan catur sekolah dan saya salah seorang daripada ahli tersebut.



Ketika tingkatan 4, bilik UBK (Unit Bimbingan dan Kaunseling) hanya satu bangunan dengan kelas saya, jadi sering sahaja singgah untuk berjumpa dengan Cikgu Rohaya. Masya-Allah, Cikgu Rohaya sangatlah baik dan lembut bicaranya; semua pelajar menyenangi diri arwah. Sangat soft spoken. Sepanjang saya mengenali arwah, saya tidak pernah nampak beliau dalam kondisi yang marah-marah atau bad mood atau baran.

Berbalik kepada cerita tadi, saya pergi berjumpa dengan Cikgu Rohaya, yang seperti ibu kedua bagi saya. Pada waktu itu telah berlalunya Ramadan (sama ada sedang atau selepas Ramadan) dan Cikgu telah selamat menjalankan pembedahan. Kata Cikgu, seperti ada ketumbuhan di dalam perutnya, suspek kanser. Saya ingatkan hanya ketumbuhan biasa, kerana selepas selesai pembedahan, cikgu tidak memaklumkan apa-apa.

Apa yang paling saya ingat sekali pada hari tu bila cikgu tiba-tiba mengungkapkan "Ramadan kali ini banyak membawa erti dan mengajar Cikgu sesuatu. Sebab Cikgu tertanya-tanya, sempatkah Cikgu bersama dengan Ramadan yang akan datang?".

Sebak semakin terasa apabila memori di atas diimbau kembali saat saya membaca mesej bahawa Cikgu Rohaya telah meninggal. Kerana peristiwa tersebut baru sahaja berlaku pada tahun lepas. Dan beliau meninggal beberapa hari sebelum Ramadan. Awal tahun ini, saya berjumpa Cikgu buat kali terakhir di hadapan Giant; Cikgu ingin memberikan sijil jawatan catur kepada saya. Waktu itu jika tidak silap, cikgu baru sahaja balik dari hospital. Saya ingatkan apabila cikgu beritahu yang "tidak sihat sikit" itu bermaksud cikgu macam demam-demam biasa. Rupanya cikgu sedang menderita kanser usus tahap 4.

Setiap orang akan merasai mati.

"Dan (ingatlah) Allah tidak akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan." ~ [Al-Munafiqun:11]


Ya Allah, moga Cikgu Rohaya ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.



#Bilakah waktu itu akan tiba padaku?



Friday, July 6, 2012

Bertemu Cinta

Bismillah.


Salam =).


It's been such a long time (isn't it?). Sudah menghampiri Ramadan, sudah masuk bulan Julai. Hampir sebulan menetap di sini. Sebulan yang telah dihadam segala bagai perkara. Diuji dengan itu dan ini. Merasai kemanisan cinta yang hakiki. Kadang-kadang disapa rindu yang tidak terperi. Chewah ayat, #annoying..haha.




Bertemu Cinta




Perkara pertama yang menerpa di minda sewaktu mendaftar di kolej, saya bertanyakan seorang kakak yang in charge menunjukkan arah bangunan kolej; "Kak, surau dekat mana?" Dan dia tunjukkan ke arah sebuah teratak yang berwarna coklat. Yes, first thing first, di mana-mana pun, kita perlu mencari rumah Allah, mencari insan-insan yang sering mendekatkan diri di sana; yang insya-Allah, membawa kebaikan pada diri kita.


Sepanjang seminggu orientasi, kami dikehendaki solat berjemaah di dalam dewan. Masa tu pun pelajar degree sedang cuti semester. Selepas seminggu, semua pelajar degree sudah kembali ke kolej. Pada hari last orientasi, kaki ini terus menjejakkan kaki ke surau kolej selepas Isyak. Ketika itu, kakak-kakak surau mem-promo bahawa malam ini insya-Allah akan diadakan qiamullail dan sesiapa yang ingin join, boleh tidur di surau. Suraunya cantik dan ber-aircond lagi. Huhu.


Waktu itulah perkenalan rapat dengan seniors yang selalu turun surau; sampai dapat jolokan adik Kak Ayunni. Hehe. Kenal kak-kak lain yang asal dari Terengganu, sejuk hati apabila dapat bertemu kakak-kakak dan sahabat surau yang lain. Cintaku bermula di sini. Di Teratak Coklat.


Jika ada yang bertanya apa yang mengikat saya di sini, jawapannya pastilah Teratak Coklat ini. Setiap kali antara Maghrib dan Isyak, diadakan pengisian pada setiap hari, mengikut jadual. Ada tayangan video, bedah lagu, ceramah, ceramah motivasi dll...


Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu akan teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat akan kematian.


Panduan jika ingin memulakan pencarian sahabat; kunjungilah rumah Allah, dan temuilah insan-insan yang hatinya terikat dengannya. Kagumnya melihat senior yang berani dan istiqamah memakai tudung labuh di sini; dan petah memberikan peringatan ketika berada di surau, walaupun mereka sibuk dengan assignments, kuiz dan test. Saya tidak sekuat itu.


Yang biasa itu bukan 'biasa' di sisi Allah


Apa yang dikhuatirkan di sini, saya bimbang sensitiviti terhadap syariat itu hilang. Di sini, di mana-mana pun akan ternampak insan-insan yang berlainan jantina bertepuk tampar, dating dan apa-apa sajalah yang menyakitkan mata. Mungkin bagi orang lain itu perkara yang biasa, tapi pada pandangan syariat itu berbeza.

Bimbangnya, perkara yang tidak elok itu kita disajikan setiap hari, jiwa ini menjadi tidak sensitif lagi; sebab lama-lama kita juga akan merasakan benda tu dah biasa.

Kita bandingkan, jika di surat khabar setiap hari kita didedahkan dengan kes-kes jenayah seperti merompak, samun, rogol dan membunuh; kita akan rasakan jenayah itu seperti sesuatu yang biasa.

Pentingnya untuk menjaga hati, supaya sentiasa sensitif dengan syariat agama. Pentingnya untuk bersahabat dengan orang-orang yang akan mengingatkan kita kepada kebaikan dan menegur kita jika tersalah tingkah atau langkah.


Cinta hakiki



Sahabatku sayang, andai dirimu membaca tulisan ini, tolonglah doakan diri ini kuat di sini. Doakanlah supaya diri ini istiqamah dalam perjuangan. Wahai sahabatku sayang, ingatlah bahawa cinta yang hakiki itu adalah mencintai Dia yang Maha Hidup.

Carilah cinta Dia sebelum kita yang masih rapuh ini mencari cinta manusia yang tidak kekal. Cintailah ilmu, matlamat utama kita menuju ke sini.

"Allah menghantar kamu ke sana kerana Dia tahu, kamu kuat untuk menghadapi apa yang ada di sana."





Monday, May 28, 2012

Hope

Pergi dengan membawa harapan keluarga.

Pergi dengan membawa segunung semangat yang baru.

Betulkan niat.

Moga-moga masih dapat mengecapi nikmat tarbiah dan usrah =)

Rindu untuk menghadiri bulatan gembira itu lagi.. kini dengan ahli yang baru pula. Insya-Allah.

Moga Allah permudahkan segala urusan.

Dia Frampton - I Will (feat. Blake Shelton) Lyrics

I want to be a friend like that. I'll try.


Between, I love you Dia. He. He.

Friday, May 18, 2012

Perjuangan Seterusnya

"What? UiTM??!! Haish, Kak Han nak pergi matrik jelah. Tukar je course sains kepada course akaun."


That was my first thought I spoken to my father when I checked at the UPU that I got pre-Law at UiTM.




Masa tahu dapat UiTM tu, memang rasa down gila. Sebab pilihan utama ialah UIA. Dan sebenarnya saya mempunyai persepsi yang tidak menyenangkan kepada U yang saya dapat tu. Kemudian saya mesej kawan-kawan, tanya diorang dapat U dekat mana. Mesej daripada seorang kawan saya menyenangkan hati yang sedang galau.


Saya pun dapat asasi undang2 uitm!


Masa tu dalam hati; yes! Ada juga teman, satu fakulti pulak tuh..hehe (dah lupa tak nak orang kenal dekat U).


Lepas tu berbalas-balas mesej dengan kawan saya tu, tanya pendapat nak terima ke atau tidak. Esokan harinya baru tahu dapat kampus dekat mana-mana, check melalui online di laman web U tersebut.


Alhamdulillah, kami sama-sama dapat kampus di UiTM Shah Alam. Baru saya tahu rupanya saya dapat fast track Asasi Undang-Undang KPTM punya, tapi belajar di UiTM. Dan tempoh belajar hanya setahun, dua semester. Dan alhamdulillah, dapat elaun/biasiswa daripada KPTM~!


Nak tahu apa beza Asasi Undang-undang KPTM dengan Asasi Undang-undang UiTM?


Asasi Undang-Undang KPTM (PI 007)


Programnya hanya setahun merangkumi dua semester. Dan anda akan mendapat elaun/biasiswa daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) sendiri. 


Selepas habis belajar di UiTM Shah Alam selama setahun menamatkan program ini, anda diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti lain yang ada di Malaysia. UM, UKM, UUM dll. Dengan syarat pointer 3.5 dan ke atas serta MUET mendapat band 4 dan ke atas.


Dan anda juga dapat menyambung pelajaran ke luar negara (part ni paling best kut..haha). Tapi kena apply la. Kalau syarat pointer dan MUET tak lepas, alamatnya meringkup dalam UiTM jelah ye. Tapi belajar Law di UiTM adalah antara yang terbaik di Malaysia.


Asasi Undang-Undang UiTM (PI 006)


Tak silap saya yang ini ada 3 tempat. Yang utamanya (fast track; setahun) ialah di Shah Alam. Masa pengajian setahun. Tapi kalau sambung degree, hanya boleh sambung di UiTM sahaja.


Kalau di Kuantan atau Kedah, pengajiannya mengambil masa setahun setengah. Semua sukatan pelajaran sama aja dengan yang fast track UiTM dan KPTM.




Kenapa undang-undang?


Ada banyak sebab kenapa saya pilih undang-undang untuk melanjutkan pelajaran. Salah satu sebabnya adalah untuk menghidupkan kepelbagaian dalam keluarga (haha). Maksud saya di sini, dalam keluarga kiranya jika campur dengan saya akan terdapat 3 orang yang melanjutkan pelajaran dalam bidang berbeza;


1- Kakak yang sulung, graduan dalam Bachelor of Finance. Bidang kewangan.


2- Kakak yang kedua sekarang baru lepas habis praktikal Diploma dalam bidang engineering.


3- Saya~ insya-Allah akan kekal dalam bidang undang-undang.


Itulah maksudnya kepelbagaian! Tapi kalau ikut dalam sudut hati yang dalam, saya rindu dengan subjek perakaunan. Prinsip Perakaunan memang merupakan subjek favourite, tapi bila difikirkan balik, saya nak cuba sesuatu yang baru; lain daripada apa yang saya sudah tahu.


Kalau ikutkan, kakak saya yang sulung tu dan of course my mother; cadangkan saya sambung perakaunan sebab saya score A+ dalam SPM. Tapi haish, accounting ain't easy when it comes to degree and I have something else in my mind.


Ayah pula sokong 100% keputusan saya untuk ambil undang-undang. =). Terima kasih ayah. Hehe. Saya ada sebab-sebab yang lain lagi kenapa; tapi saya rasa waktu ini bukan waktu yang selamat untuk meluahkan sesuatu yang  bersifat erms~.. Nanti karang sebelum sambung belajar undang-undang, saya yang kena tindakan undang-undang.. (Nauzubillah).




Positive Thinking


Ada hikmah tu kenapa saya tidak dapat di U yang saya mahu kepada dapat yang U saya tak mahu. Kalau fikir balik, Allah selalu uji saya dengan perkara yang macam ni; sesuatu yang tidak diduga, di kawasan yang macam tu. Allah knows the best for us. Always. Dan Allah berikan teman kekuatan saya; Hajar untuk bersama-sama menuntut ilmu di sana.


Kalau fikir-fikir balik, perkataan yang keluar dari bibir saya masa awal-awal tahu keputusan UPU tu memang tak bersyukur langsung! (Jadi jangan tiru aksi tersebut, ya). Sedangkan kawan-kawan lain yang minta UPU ada yang tak dapat; saya yang dapat ni pula macam tak bersyukur je. Well, I kinda shocked back then. Alhamdulillah, dapat juga course yang diminta.


Ayah yang uruskan borang-borang saya untuk kemasukan U dan faham la saya dapat KPTM punya kata;


"Kak Han kalau pointer bagus nanti boleh sambung oversea. Boleh buat master sekali."


Ha. Ha. Oversea la sangat. Under the sea pun belum tentu lagi, ayah. Kak Han macam tak suit je. Ayah doakan jelah =)





Friday, May 11, 2012

Untuk Awak #3: Forever alone? Not anymore.

Salam. Saya tertarik dengan entri ini yang saya baca di laman web dakwat.org. Saya ingin kongsikannya di sini, supaya awak dapat mengutip sesuatu. Untuk awak, dan sesiapa sahaja yang membaca.


This article is not mine. It's copy paste from HERE.


***



Termenung depan facebook menatap photos di wall rakan-rakan dahulu yang sekarang ini berada di luar negara.Terdetik dalam hati “bestnya mereka dapat pergi sana sama-sama.Pelajar islam pun ramai,tak rasa asing sangat,tak macam aku kat sini dah la sorang-sorang takde pun yang sama sekolah,muslim pun 2 orang je,lebihnya non-muslim.Lepas teringat balik masa berbual dengan seorang senior ni,”Akak,saya takutlah,saya macam tak diuji dengan apa-apa,tak diuji dengan lelaki,kematian,harta,pelajaran.Eh,tiba-tiba terfikir,Allah uji saya dengan kesunyiaan.Nah,selepas itu flashback balik,yelah KESUNYIAN.

***********************************************************************

Sebagai anak last yang jarak paling dekat pun 6 tahun,saya sering ketinggalan dalam mengukir memori kanak-kanak bersama abang-abang dan kakak-kakak saya.Saya megukir memori saya sendiri.Ketika mereka bercerita tentang zaman persekolahan, zaman susah, zaman pindah-randah, saya akan diam tidak menyampuk kerana saya tidak ada dalam memori itu.Saya tidak pernah bersekolah satu sekolah dengan adik-beradi saya,saya tidak melalui zaman pindah-randah,saya tidak ada pada zaman kanak-kanak mereka!Itu baru dalam keluarga.

Bila zaman sekolah rendah pula,kawan saya terhad hanya di sekolah tidak di kawasan perumahan,kerana sekolah yang terletak agak jauh dari rumah dan juga kawasan perumahan yang ketiadaan taman permainan untuk kanak-kanak berkumpul.Bagi mereka yang tinggal berdekatan di sekitar sekolah,mereka sering meluangkan masa bermain bersama.Saya ketinggalan lagi.Terperap di rumah hanya menonton Telenovela Rosalinda.

Naik sekolah menengah pula,form 1 dapat kawan yang buat semua sama-sama,faham satu sama lain tapi lepas 2 bulan dia pindah sebab dapat tawaran lain.Keseorangan. Ambil masa juga nak cari kawan yang sefahaman.Bila dah jumpa,start rapat share masalah,gosip-mosip kelas lain pula.Saya ambil perakaunan,mereka-mereka semua science stream.Huh,kena belajar sorang-sorang la nampaknya sebab subjek tak sama.Adat la duduk asrama,gap sentiasa ada even dalam batch sendiri(tak matured lagi kott).Memang boleh je nak belajar dengan kawan sekelas yang lain tapi memandangkan mereka semua ada gang tersendiri dan semangat ke”gap”an(tahu sangat tak matured kan?)sedikit awkward untuk join study sama-sama.Kalau ada yang tak ber”gang” pun budak yang tak tinggal kat asrama.Hurmm,susah pula kalau ada apa-apa nak tanya time prep nanti.Nak telefon? Berejam la tunggu beratr kat publc phone tu.

Then,lepas SPM kena pergi National Service/PLKN.Masa itu memang sangat tak nak.Tapi redha je mungkin ada ibrah kot disebalik ini.Before pergi kawan-kawan pesan cari mad’u,jadi so-called ustazah/tempat rujukan,kongsi ilmu dengan orang lain kat sana.Berjaya pada awalnya dalam mencari kekuatan kerana semua kawan yang rapat di sana sangat menyokong dalam usaha dakwah.Memang tak rancang pun nak cari kawan yang berlatar belakangkan sekolah agama,kebetulan.First 2 month,rasa sangat selesa sebab ramai kawan yang membantu.Tapi masuk bulan ke-3,hurm,semua beransur memohon penangguhan kerana ingin mengambil STAM.KESEMUA dari mereka mengambil penangguhan. KESEMUA.Tinggalah saya seorang.

Dengar macam tak logik kan?Tapi ini yang berlaku kerana kebanyakkannya datang dari dekolah yang sama.Oleh kerana tidak ada sokongan yang memberangsangkan,semangat mula down.Diasak lagi bertubi-tubi oleh non-muslim bertanyakan itu ini sementelah saya seorang sahaja dalam kompeni itu yang tinggal.Masa berlalu,tamatlah PLKN dengan rasa keseorangan di sana. Semasa mendapat result SPM,alhamdullilah keputusan baik.Kawan-kawan yang lain pun baik juga.Jadi kami merancang memohon biasiswa ke luar negara agar dapat sambung belajar bersama-sama.Namun takdir Allah mengatasi segalanya.Dalam ramai-ramai yang memohon,hanya saya seorang saya diterima.Masya-Allah,kami akan berpisah.

Bila tiba di pusat persediaan pula,hanya 3 orang sahaja muslim.50++ yang lain non-muslim.Antara kami bertiga,saya rapat dengan salah seorang kerana interest,perangai yang sama sementelah seorang lagi tersangat diam dan tidak melibatkan diri sangat.Tapi,tidak sampai sebulan,dia(yang saya rapat) berpindah kerana mendapat tawaran yang lain.Hurm,keseorangan lagi.Tambahan pula,ketika itu saya masih mempunyai masalah bertutur dalam bahasa Inggeris without using broken english.Saya mendapati sukarnya menempuh ujian berseorangan.

Namun,siapa sangka Allah meghantar beberapa lagi pelajar muslim dari biasiswa lain.yang lain juga bidangnya dengan saya.Biarlah kelainan antara kami asalkan kami dapat bentuk satu usrah.Maka,terbentuklah satu usrah terdiri dari 10 orang disini. Melalui usrah,saya refleks balik apa yang dah saya alami selama ni.I could not see why Allah plans this to happen.

Then,I realised that,kehilangan saya memberi peluang untuk saya mencari kawan-kawan baru supaya mendapat sisi lain dari berbagai orang yang saya jumpa.Allah mengajar saya semua benda tidak kekal,Allah mahukan saya tidak lemah,terus thabat dijalanNya walau tiada sokongan kerana Dia mahu mengajar kebergantungan sepenuhnya pada Allah bukan pada kawan-kawan.Allah mahukan saya tidak selamanya menjadi merasa secure dalam biah solehah kerana diluar sana realitnya memerlukan kita berada dalam western environment.Allah letakkan saya di tempat yang saya lemah agar saya boleh atasi kelemahan itu supaya tidak lagi menjadi halangan pada saya.Allah letakkan dihadapan saya mereka(not-yet-muslim) agar saya memperkenalkan/iklankan The True Deen.Agar saya menjadi medium untuk mereka mendapat hidayah Allah dan juga agar saya memperbanyakkan pengetahuan dalam Islam itu sendiri kerana saya akan memperkenalkan ia kepada NOT-YET-MUSLIM.

Kerana mereka disini kebanyakkannya penganut Kristian yang tersangat tegar(rantai salib mereka sangatlah gabak/besar).Allah juga nak mengajar saya setiap apa yang saya buat bukanlah untuk merasa kenikmatan ke”best”an sebab buat bersama rakan-rakan tapi hanya untuk mendapat redhaNya sahaja.Ia membuatkan saya bukan seorang LOSER

Munira Hakimi






******


ps; I got it.. Pergantungan hanya pada Allah.. Mungkin sebab ini juga saya tercampak ke sana.



Wednesday, May 9, 2012

Matlamat Yang Sama

Assalamualaikum w.b.t.

Tahniah kepada semua rakan-rakan yang dapat menyambung pelajaran di peringkat IPTA mahupun Matrikulasi atau STPM. Tidak kiralah di mana tempat kita belajar, kita masih mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menuntut ilmu. 

Daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib bagi setiap umat Islam."

(Ibnu Majah dan Lain-lainnya)



Zaman sekarang ni kan, kiranya berada pada tahap yang 'lebih mudah' untuk sambung belajar. Serius. Kalau ikut zaman mak ayah kita dulu, orang yang boleh masuk U, punyalah sikit. Dalam sebuah kampung tu boleh kira dengan jari. Kalau seorang anak tu dapat masuk U, keluarga diorang akan buat majlis kesyukuran dan jemput semua orang kampung untuk meraikan anak mereka.

Sebab zaman mak ayah kita dahulu silibus  pelajaran tidak sama macam kita belajar sekarang ni; yang mana telah banyak yang dimansuhkan. Dan zaman diorang mana ada istilah 'turun graf' atau 'naik graf' dalam gred keputusan SPM. Jadi kita ni sepatutnya bersyukurlah, masih lagi diberi kesempatan untuk menyambung pelajaran.

Kalau ikutkan semasa zaman kegemilangan Islam, para ilmuwan Islam bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu yang belum diterokai oleh orang lain. Hasilnya? Ilmu mereka bermanfaat dan diguna pakai oleh kita sehingga hari ini. Zaman itu, nak menuntut ilmu perlu bermusafir jauh, dengan tiada kemudahan canggih seperti kita pada hari ini; kereta, bas dan monorel. Mereka bermusafir dengan belayar, atau merentasi padang pasir yang panas dengan menaiki unta. Begitu cekalnya hati mereka untuk menuntut ilmu.


Berbeza dengan kita yang mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan. Hanya kita yang dapat membuat pilihan; sama ada mahu atau tidak! 

Tidak kisahlah anda belajar di mana, asalkan mempunyai kemahuan dan kesungguhan. 


Niat yang betul

Mungkin ramai yang fikir sebab utama untuk sambung belajar adalah untuk dapat kerja yang bagus-bagus dan gaji yang tinggi-tinggi. Tak salah untuk anda letakkan matlamat yang begitu tetapi jangan letakkan pada matlamat yang utama.

Nasib ummah bergantung pada bahu kita. Faham maksud saya?

Jika anda ditakdirkan untuk menjadi seorang doktor, jadilah doktor yang pakar; supaya negara kita tidak perlu bergantung kepada negara-negara luar untuk kepakaran di sini. Jadilah doktor yang berpegang kepada syariat, berkhidmat untuk masyarakat.

Jika anda ditakdirkan untuk menjadi seorang jurutera, jadilah jurutera yang tida makan gaji sahaja; bekerja itu janganlah sambil lewa, kerana kalau terjadi begitu, bagaimana negara kita mahu maju? Di manakah berkatnya?

Begitu juga dengan guru; jangan jadi guru yang hanya mengajar, tetapi jadilah guru yang juga mendidik pelajar.

Percayalah, nasib negara berada di tangan anak-anak muda; di tangan kita. Jadikan niat kita yang aula ialah untuk mencapai reda Dia. Dan untuk merealisasikannya perlulah dengan menuntut ilmu, dan berkhidmat untuk masyarakat dan ummah.

Bagi sesiapa yang mendapat elaun atau tajaan biasiswa, gunakan duit itu dengan sebaik-baiknya, kerana hakikatnya duit itu adalah duit rakyat; dan itu menjadikannya AMANAH.


Selamat Belajar

Hakikatnya, kita sentiasa meniti 'alam' belajar secara rasmi atau tidak rasmi. Selamat menuntut ilmu ya, kawan-kawan. Jaga diri di mana jua kita berada. Kita diberi pilihan untuk memilih dalam hidup; jangan sia-siakan dengan membuat pilihan yang salah ketika belajar.


PS: Saya dapat maklumat yang pelajar USIM mendaftar awal yep? 23/5 ek? Saya punya lambat lagi la, 2/6. NI yang jealous ni.. Huhu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...