Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Thursday, February 14, 2013

Serpihan Kalbu [2]


...sambungan cerpen Unknown Draft yang dahulu.. tapi cerita ini saya karang sewaktu sekolah menengah.. Mungkin time tingkatan 3 atau 4. Lupa.



          Kecantikan yang abadi ialah pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan pada wajah dan pakaiannya.
-HAMKA-

          Kata-kata yang dihantar lewat emel gadis yang bernama Sulaim dari Jeddah itu mengisi ruangan inbox emelnya. Seperti biasa, dia akan save di dalam Microsoft worddan apabila koleksi kata-kata itu memenuhi ruangan sehelai kertas A4, dia akan printdi kafe siber Uncle Chong dekat-dekat sini aja. Uncle Chong yang peramah itu, jarang berada di dalam kafe siber miliknya sekarang. Khabarnya, anak-anak lelakinya yang boleh diharap itu yang mengambil alih. Anak lelaki Uncle Chong yang dia kenal hanya si Chuan seorang itu sahaja, yang sebaya dengannya. Malahan mereka menuntut di sekolah yang sama. Chuan itu seperti bapanya juga; fasih berkomunikasi bahasa melayu.

          "Ayong, cepat turun ke dapur. Sarapan dah siap." Ujar suatu suara halus seorang gadis di luar pintu biliknya lalu disertakan dengan ketukan kecil.

          Bertuah punya budak. Bersuara dahulu kemudian baru ketuk pintu. Omelnya dalam hati.

          "Ya, aku turunlah nanti." Jawab Rauf, tenang. Kenal sangat dia dengan suara halus tu. Anak cina celup tulah... Tidak sukanya dia apabila gadis itu menumpang rumah keluarganya. Amboi Rauf, dia itu juga sebahagian daripada keluarga kamu!Tapi aku dan adik-adikku tiada pertalian darah dengannya. Itu pasti. Kenapalah ibu begitu baik hati memberi gadis itu menumpang di sini.

          Dia yang hanya berseluar track, menyarungkan t-shirt berwarna hijau pucuk pisang yang kosong sahaja tanpa corak dan berkolar. Tangannya pantas memulas tombol pintu biliknya dan keluar. Kakinya pantas menuruni tangga dan menuju ke dapur. Dalam perjalanan menuju ke dapur, dia terserempak dengan adiknya, Yaya.

           "Selamat pagi semua.. Yaya tertidur kat atas tadi.. Nasib baik Awa kejutkan. Terima kasih ya Wa." Ujar Yaya pantas apabila masuk ke dapur. Yaya mengambil tempat duduk di sebelah gadis anak cina celup itu yang kosong lalu mengukir senyum bagi gadis tersebut. 

          Sebuah meja makan segi empat yang diperbuat daripada gentian kaca berada memanjang di bahagian tempat makan, berdekatan dapur. Terdapat sepuluh buah kerusi kayu yang berwarna hitam di sekeliling meja makan. Ayah sebagai kepala keluarga tentunya duduk di bahagian kerusi perseorangan di bahagian hujung meja makan sambil membaca surat khabar. Ibu pula duduk sebaris dengan Yaya dan anak cina celup itu.. Rauf asyik menyebut gadis itu sebagai 'anak cina celup' sahaja.. Padahal gadis itu juga punya nama. Namanya apa ya? Yang dia tahu nama depannya Arwa. Nama belakangnya apa entah. Bukan hal dia yang perlu sibuk-sibuk tahu.

          Rauf duduk berhadapan dengan ibunya. Kelibat dua orang adik lelaki kembarnya baru tampak kelihatan. Si Alang dan Achik. Nampak macam baru bangun tidur. Mesti tidur selepas solat Subuh berjemaah tadi. Sememangnya menjadi kebiasaan keluarga ini untuk solat Subuh dan solat Isyak berjemaah di rumah. Bagi waktu solat yang lain jarang berjemaah di rumah kerana ayah bekerja. Ibu pula ke sekolah, mengajar. Mereka biasanya pulang pada waktu petang. Dia pula sengaja pulang lewat ke rumah, menghabiskan waktunya di sekolah.

          Namun pada waktu cuti sekolah begini, tentulah ibu tidak lagi ke sekolah. Begitu juga Rauf dan adik-adiknya. Namun ayahnya langsung tidak 'bercuti'. Maklumlah, arkitek katakan. Rauf menilik adiknya, Yaya.

          "Yaya, ikat sikit rambut tu boleh tak? Serabai, buat orang tak selera makan ajalah." Komen Rauf sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah rambut Yaya yang keriting menggerbang paras bahu. Yaya mulai memasamkan mukanya.

          "Ayong ni asyik-asyik dengki dengan rambut Yaya." Marahnya.

          "Betul cakap abang kamu tu, Ya. Lain kali ikatlah rambut tu, dah tahu macam tu." Ayah menyampuk. Muka Yaya bertambah masam. Arwa di sebelah Yaya yang bertudung kemas berwarna kuning lembut kosong itu menyembunyikan senyum. Si kembar Alang dan Achik diam sahaja, tidak menyambung usikan Rauf seperti biasa.

          "Semua dah ada kan? Ayong, baca doa makan." Arah ibu, cuba meredakan keadaan. Rauf hanya tersengih. Sedari tadi lagi kecur air liur melihat nasi goreng cina yang dihidangkan di atas meja makan ini berserta kopi pekat di dalam teko yang mengewap itu. Lalu Rauf menuruti arahan ibunya.

          Sedang masing-masing enak menikmati air tangan ibu, ayah berdehem kecil sambil memandang kami semua.

          "Awa, tahun depan duduk sini terus aja ya. Boleh temankan Yaya study sama-sama. Ayong ni pun ada, boleh jadi tutor ajar Awa dan Yaya." Ayah bersuara. Hampir tersedak Rauf dibuatnya. Arwa yang perasan akan hal itu menjelingnya sekilas.

          Apa? Nak cari gaduh? Balas Rauf dalam hati apabila terlihat Arwa menjelingnya tadi. 

      "Nanti hujung minggu Awa bolehlah balik rumah Mama." Sambung ibu pula. Aishh.. Nampaknya ayah sudah berpakat dengan ibu. Tahulah yang Yaya dan Arwa tu PMR tahun hadapan. Dia pun ada peperiksaan besar juga tahun depan. Lebih besar daripada mereka lagi; SPM!

          Nak suruh dia jadi tutor Yaya dan anak cina celup tu? Huh, silibus menengah rendah sudah lama dia buang di luar kepala. Mungkin ada yang dia ingat sikit-sikit. Kalau disuruh mengajar Sains dan Matematik, bolehlah juga. Tapi kalau datang bab Geografi atau Sejarah, memang dia surrender awal-awal. Dua subjek inilah yang membuatkannya tidak mendapat penuh gred 'A' di atas slip keputusan peperiksaan PMR dahulu! Sedihnya. Hendak buat macam mana, dia memang tidak suka atau menaruh minat sekali pun kedua-dua subjek tersebut. Sekali pun jika dia bakar buku-buku teks kedua-dua subjek tersebut, kemudian diletakkan dalam air lalu diminum supaya mudah diingat, tentu akan termuntah balik; sejarah dan geografi sememangnya bukan 'jiwa'nya. Kononnyalah!

          Gadis bertudung kuning lembut itu hanya diam. Sesuap nasi goreng disua ke mulutnya. Suasana bertukar sepi.

          "Kalau mama izinkan, Awa boleh aja." Akhirnya Arwa memberikan jawapan.

          "Mama dah beri jawapan pun. Ayah sudah berbincang dengan mama."

          "Tapi sekolah Yaya dan dia tu kan lain-lain, ayah?" Rauf menyampuk.

          "Tak apa, ayah hantar dia orang dengan kereta."

          Arwa angguk. Yaya di sebelahnya sudah hilang masamnya sedari tadi apabila khabar daripada mulut ayah bahawa dia mempunyai teman di rumah untuk belajar. Maklumlah, di rumah Yaya asyik dibuli oleh abang dan dua adik lelakinya. Hanya Yaya seorang sahaja perempuan dalam keluarga ini, selain ibu.

          "Yeay! Yaya ada teman, bestnya."

** ** ** **

          "Mudahnya Yaya terima orang lain dalam keluarga kita." Kata-kata Rauf menyebabkan Yaya berang.

          "Ayong! Awa tu bukannya sesiapa pun, saudara tiri kita jugak."

          "Oh ya? Ayong tak fikir macam tu."

          "Sudah lima tahun ayah kahwin satu lagi.. Takkan Ayong tak boleh terima lagi Makcik Natrah dan Awa?" Soal Yaya penuh emosi. Yaya hanya memakai baju t-shirt berlengan pendek yang longgar berwarna maroon.Terdapat gambar kucing hodoh di belakangnya. Seluar track hitam legam yang dipakai Yaya itu tampak lusuh amat. Kulit Yaya yang putih sangat kontras dengan kulit Rauf yang sawo matang. Rambut Yaya yang keriting disanggul kemas itu juga berbeza dengan rambutnya yang lurus.

           "Siapa kata Ayong tak boleh terima kenyataan yang Ayong ada ibu tiri dan adik tiri?" Balas Rauf sambil mengalunkan muzik yang entah apa-apa daripada gitar buruknya itu. Mereka berdua sedang berbual di buaian besi yang terletak di bawah pohon yang rendang-rendang suku. Di hadapan mereka terdapat kolam kecil yang menempatkan ikan-ikan emas dan curahan air seakan-akan air terjun di sebalik cangkerang yang bertingkat-tingkat itu. Taman di luar rumah ini amat menyenangkan untuk menghabiskan waktu damai.

          Hissh.. Berbelit-belit betul abangnya seorang ni. Tadi cakap lain, sekarang cakap lain. Wajah Yaya sudah kelat.

          "Habis tu, yang Ayong cakap macam tu tadi kenapa? Ayong ni cakap belit-belit kalah orang tamil!"

           Amboi, samakan dia dengan orang tamil? Yaya ni, memang nak kena betul. Harapkan dia ni adik kesayangannya sahaja.

           "Sudahlah, Yaya tak perlu fikir pasal tu lagi. Anggap je Abang Yong tak pernah cakap apa-apa." Rauf mematikan perbicaraan mereka.

          "Abang Yong ni kan.. Awa tu comel tau. Kacukan cina. Mata dia nak kata sepet taklah sepet sangat. Tapi mata hitamnya besar tau.. Matanya hitam pekat sangat. Yaya suka tengok mata Awa. Kulit dia pun cantik.. Kuning langsat! Tak fahamlah kenapa kalau Ayong tak suka dengan Awa". Bebel Yaya lagi. Dalam hati Rauf menambah; Yaya, hidung dia tak mancung.

          "Orang nak nyanyi satu lagu ni.. Yaya nak Ayong nyanyi lagu apa?" Rauf cuba lari daripada bercakap tentang Arwa. Yaya ni memang tak faham-faham betul.. Kalau orang tak nak cakap pasal benda ni, memang tak naklah.

          "Suara Ayong tak sedap.. Tapi Yaya bosanlah.. Nyanyi ajalah lagu apa-apa pun.."

          Serentak dengan itu Rauf menyepak kaki adiknya yang kuat menyakat tu.

          "Ayong!" 

          Rauf menjelirkan lidah. Tangannya mulai memainkan nada pada gitarnya. Tidak mempedulikan Yaya yang memukul bahunya sekilas. Dia menyanyikan lagu dengan suara lantangnya.

Kalau sampai waktuku
Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

          "Eii.. Ayong.. Lagu apa ni? Naik bulu roma Yaya tau?!" Marah Yaya serta-merta sebelum sempat Rauf menghabiskan senandungnya itu. Rauf hanya ketawa.

          "Malaslah nak layan Ayong ni. Mulalah tu datang penyakit pelik dia tu." Yaya pantas meninggalkan Rauf di buaian. Tenggelam dalam lagunya.

          Rauf ketawa dalam hati. Yaya tidak tahu menahu bahawa yang didendangkannya sebentar tadi bukannya lagu sebaliknya puisi yang bertajuk 'Aku' oleh Chairil Anwar. Dia hanya mereka-reka nada untuk puisi tersebut. Sahaja ingin menakut-nakutkan si Yaya yang tidak tahu menahu tentang puisi.


Tuesday, October 30, 2012

Serpihan Kalbu... [1]

Assalamualaikum. Seperti yang dijanjikan untuk kawan-kawan yang ingin 'melihat' draft manuskrip (amin) saya. Maaf terlalu lambat mengeposkan entri kat sini ye.. Dan tajuk cerita ni masih 'kelabu', tak tahu nak letak apa tajuknya.. Mohon kerjasama rakan-rakan..hee~.. Nak kritik, kritik je tau!


SERPIHAN KALBU
[NOT EDITED VERSION]

Dia berlari dan terus berlari. Awalnya hanya berlari santai. Kemudian dicepatkan sedikit. Kemudian dicepatkan lagi. Lagi. Lagi dan lagi. Seakan berlari melepaskan semua yang ada; kalaulah semua itu mampu. Lariannya diperlahan. Dia mengah sendiri. Ah, lamanya tidak berjoging! Walaupun hakikatnya dia bukanlah berjoging, melainkan berlari seolah-olah mewakili pertandingan larian olimpik di taman ini. Keseorangan.

Akukah yang salah
Membiarkan jiwa ini gersang terbelah
Membiarkan hati menerjang
Meraung kelelahan


Telinganya menangkap alunan gitar yang tidak tentu nadanya berserta suara... Langkah larian dihentikan. Mencari-cari punca.

Akukah yang lemah
Menghanyutkan diri di perahu
yang karam
Dek kealpaan mencengkam
Lemas dalam air yang kehausan

Kemudian matanya menangkap sosok seorang gadis yang tidak jauh di hadapan. Berdekatan dengan sepohon pokok yang hidup segan mati tidak mahu. Pokok yang hanya tinggal batangnya sahaja. Gadis itu menyandang sebuah gitar, sambil bibirnya mengalunkan bibit-bibit kata. Sangkanya gadis itu sedang menyanyikan lagu; busking seperti yang pernah dia lihat di mana-mana. Tetapi bila dia mulai mendekat, dia terkedu. Gadis itu sedang mengalunkan puisi!



Akukah itu
Dalam kehinaan pabila
Kokokan ayam menjerit
Menjalar hingga berlabuhnya
tirai malam yang kelam

Waktu masih pagi. Matahari baru sahaja malu-malu memunculkan diri. Mana ada orang yang berjoging dan yang lalu-lalang di situ ingin mendengar patah demi patah apa yang dideklamasikan. Setakat pandang dua kali kerana pelik, adalah kut.



Sampai kapan
Aku harus begini
Membina tiang-tiang dosa
Membelit diri.


Dengan penuh penghayatan (rasanyalah-kut), gadis itu menoktahkan puisinya. Hanya dia seorang yang tercegat di trek joging selang lima langkah daripada gadis itu berdiri. Gadis berwajah pucat itu memakai pashmina hitam dan sweater labuh berwarna hijau daun serta memakai jeans lusuh yang nampaknya extra large. Berserta kasut sukan. Pelik.

Barulah dia perasan, rupanya di sebelah gadis itu, seseorang sedang duduk santai bersila. Mungkin kawan gadis yang berpuisi tu kut. Dia memakai tudung bawal biru lepas bawah dan juga memakai t-shirt lengan panjang dan track suit hitam.

Memandangkan hanya dia yang baru sahaja lepas berlari yang tercegat di hadapan mereka, dengan janggal dan spontannya dia bertepuk tangan; menghilangkan kejanggalan dan kesunyian yang tiba-tiba menyapa apabila gadis berdua itu memerhatikannya.

"Nice poem!" Dia berbasa-basi. Padahal dia tidak mendengar sepenuhnya pun sajak atau puisi entahkan gurindam yang didengarinya tadi.

Gadis bertudung bawal yang sedang duduk itu cuma tersenyum kepadanya. Ya, hanya gadis itu yang senyum, gadis berpashmina hitam di sebelahnya yang sedang berdiri itu tiada ekspresi, dan bagaikan dia tiada di situ, gadis itu perlahan duduk bersandarkan pokok di belakangnya dengan memegang gitar sambil memejamkan mata.

"Aku Rauf, tinggal di kawasan ni aja." Dia memperkenalkan diri secara tiba-tiba. Gadis berpashmina hitam itu mencelikkan matanya perlahan-lahan. Kawan sebelahnya tersenyum.

"Ifah." Sepatah gadis bertudung bawal biru memperkenalkan diri. Jari telunjuknya diarahkan kepada gadis berpashmina hitam. "Dia ni Safi."

Rauf mengangguk. Dia memandang ke arah Safi, gadis berpashmina hitam itu yang seperti memandang jauh ke hadapan, bukan ke arahnya. Tiba-tiba mata gadis itu beralih menikam ke arahnya.

"Erm, gerak dulu ya. Selamat jalan." Rauf mengundur diri. Ada umur, jumpa lagi. Desisnya dalam hati.

"Selamat jalan, Raf." Tiba-tiba si Safi yang ala-ala sombong saya-tak-nak-kenal-awak tadi tu mengucapkan selamat jalan. Tapi wajah Safi masih seperti tadi. Tiada ekspresi, bagaikan tiada emosi. Rauf menjungkit alis kirinya.

"It's Rauf, not Raf." Senyum. Namun, belum sempat pun dia melangkah, sesuatu melintas di kepalanya.

"Erm, boleh nyanyikan satu lagu?"

Meledak Ifah ketawa. Safi menepuk peha Ifah, matanya memberi ekspresi; Ifah, behave! Ifah hanya menyeringai setelah berusaha menutup mulutnya daripada terus ketawa. Rauf tertanya, apa yang lucunya?

"Safi tak menyanyilah.. Aku pun lagilah tak. Safi cuma mendeklamasi sajak dan puisi aja." Terang Ifah dengan sisa-sisa tawanya.

Peliknya, fikir Rauf.

"Sajak apa yang biasa kau baca? Cinta? Rindu? Benci?" soal Rauf ingin tahu. Soalannya disasarkan kepada Safi yang tidak memandangnya. Namun seperti biasa, Ifah yang menjawab.

"Sajak pasal kemanusiaan. Keagamaan. Muhasabah diri. Pasal hidup pun ada." Ifah menyeringai.

"Kenapa?" Meluncur laju pertanyaan daripada mulut Rauf. Ya, kenapa? Pelik, gadis berpuisi di pagi hari di sebuah taman tempat orang-orang lalu-lalang dan joging.

"Untuk dakwah." Ifah ringkas menjawab.

"Dakwah?" Dia makin tidak faham. "Dengan puisi? Itu dikatakan dakwah?" Rauf memerhatikan kembali Ifah dan Safi.

"Ya. Dakwah itu seni, Encik 'Raf'." Kali ini Safi bersuara, memandangnya. Menyeringai aneh.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...