Wednesday, July 18, 2012

Moga Rohmu Tenang Di Sana

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Sejurus pagi tadi saya mendapat berita yang menggetarkan hati. Ketika itu berada di dalam PTAR untuk Hands on Training. Cell phone bergetar menandakan mesej masuk. Daripada Hajar.

Cikgu Rohaya telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Al-Fatihah.

Terkedu. Hati mempertikai. Betul ke? Sahih ke berita ni? Tup tup, handphone saya mati kerana kehabisan bateri, tidak sempat hendak membalas mesej untuk bertanya lebih lanjut. Mata terasa basah. Fokus di dalam Pusat IT di perpustakaan itu dicuri dengan berita yang baru diterima.

Seribu pertanyaan menusuk ke minda bertalu-talu. Cikgu meninggal? Kenapa? Sakitkah? Accident? Atau ada kaitan dengan pembedahan tahun lepas yang cikgu hadapi tu?

Kemudian memori-memori lalu bersama Cikgu menerpa.

Pernah suatu ketika pada tahun lepas, saya berjumpa dengan Cikgu untuk mengadu dan meminta nasihat untuk membahagikan masa antara tugas dan akademik. Cikgu Rohaya ni guru kaunseling sekolah. Hubungan saya dan arwah rapat, sejak saya tingkatan 3 lagi. Arwah merupakan guru pengiring pasukan catur sekolah dan saya salah seorang daripada ahli tersebut.



Ketika tingkatan 4, bilik UBK (Unit Bimbingan dan Kaunseling) hanya satu bangunan dengan kelas saya, jadi sering sahaja singgah untuk berjumpa dengan Cikgu Rohaya. Masya-Allah, Cikgu Rohaya sangatlah baik dan lembut bicaranya; semua pelajar menyenangi diri arwah. Sangat soft spoken. Sepanjang saya mengenali arwah, saya tidak pernah nampak beliau dalam kondisi yang marah-marah atau bad mood atau baran.

Berbalik kepada cerita tadi, saya pergi berjumpa dengan Cikgu Rohaya, yang seperti ibu kedua bagi saya. Pada waktu itu telah berlalunya Ramadan (sama ada sedang atau selepas Ramadan) dan Cikgu telah selamat menjalankan pembedahan. Kata Cikgu, seperti ada ketumbuhan di dalam perutnya, suspek kanser. Saya ingatkan hanya ketumbuhan biasa, kerana selepas selesai pembedahan, cikgu tidak memaklumkan apa-apa.

Apa yang paling saya ingat sekali pada hari tu bila cikgu tiba-tiba mengungkapkan "Ramadan kali ini banyak membawa erti dan mengajar Cikgu sesuatu. Sebab Cikgu tertanya-tanya, sempatkah Cikgu bersama dengan Ramadan yang akan datang?".

Sebak semakin terasa apabila memori di atas diimbau kembali saat saya membaca mesej bahawa Cikgu Rohaya telah meninggal. Kerana peristiwa tersebut baru sahaja berlaku pada tahun lepas. Dan beliau meninggal beberapa hari sebelum Ramadan. Awal tahun ini, saya berjumpa Cikgu buat kali terakhir di hadapan Giant; Cikgu ingin memberikan sijil jawatan catur kepada saya. Waktu itu jika tidak silap, cikgu baru sahaja balik dari hospital. Saya ingatkan apabila cikgu beritahu yang "tidak sihat sikit" itu bermaksud cikgu macam demam-demam biasa. Rupanya cikgu sedang menderita kanser usus tahap 4.

Setiap orang akan merasai mati.

"Dan (ingatlah) Allah tidak akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan." ~ [Al-Munafiqun:11]


Ya Allah, moga Cikgu Rohaya ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.



#Bilakah waktu itu akan tiba padaku?



Friday, July 6, 2012

Bertemu Cinta

Bismillah.


Salam =).


It's been such a long time (isn't it?). Sudah menghampiri Ramadan, sudah masuk bulan Julai. Hampir sebulan menetap di sini. Sebulan yang telah dihadam segala bagai perkara. Diuji dengan itu dan ini. Merasai kemanisan cinta yang hakiki. Kadang-kadang disapa rindu yang tidak terperi. Chewah ayat, #annoying..haha.




Bertemu Cinta




Perkara pertama yang menerpa di minda sewaktu mendaftar di kolej, saya bertanyakan seorang kakak yang in charge menunjukkan arah bangunan kolej; "Kak, surau dekat mana?" Dan dia tunjukkan ke arah sebuah teratak yang berwarna coklat. Yes, first thing first, di mana-mana pun, kita perlu mencari rumah Allah, mencari insan-insan yang sering mendekatkan diri di sana; yang insya-Allah, membawa kebaikan pada diri kita.


Sepanjang seminggu orientasi, kami dikehendaki solat berjemaah di dalam dewan. Masa tu pun pelajar degree sedang cuti semester. Selepas seminggu, semua pelajar degree sudah kembali ke kolej. Pada hari last orientasi, kaki ini terus menjejakkan kaki ke surau kolej selepas Isyak. Ketika itu, kakak-kakak surau mem-promo bahawa malam ini insya-Allah akan diadakan qiamullail dan sesiapa yang ingin join, boleh tidur di surau. Suraunya cantik dan ber-aircond lagi. Huhu.


Waktu itulah perkenalan rapat dengan seniors yang selalu turun surau; sampai dapat jolokan adik Kak Ayunni. Hehe. Kenal kak-kak lain yang asal dari Terengganu, sejuk hati apabila dapat bertemu kakak-kakak dan sahabat surau yang lain. Cintaku bermula di sini. Di Teratak Coklat.


Jika ada yang bertanya apa yang mengikat saya di sini, jawapannya pastilah Teratak Coklat ini. Setiap kali antara Maghrib dan Isyak, diadakan pengisian pada setiap hari, mengikut jadual. Ada tayangan video, bedah lagu, ceramah, ceramah motivasi dll...


Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu akan teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat akan kematian.


Panduan jika ingin memulakan pencarian sahabat; kunjungilah rumah Allah, dan temuilah insan-insan yang hatinya terikat dengannya. Kagumnya melihat senior yang berani dan istiqamah memakai tudung labuh di sini; dan petah memberikan peringatan ketika berada di surau, walaupun mereka sibuk dengan assignments, kuiz dan test. Saya tidak sekuat itu.


Yang biasa itu bukan 'biasa' di sisi Allah


Apa yang dikhuatirkan di sini, saya bimbang sensitiviti terhadap syariat itu hilang. Di sini, di mana-mana pun akan ternampak insan-insan yang berlainan jantina bertepuk tampar, dating dan apa-apa sajalah yang menyakitkan mata. Mungkin bagi orang lain itu perkara yang biasa, tapi pada pandangan syariat itu berbeza.

Bimbangnya, perkara yang tidak elok itu kita disajikan setiap hari, jiwa ini menjadi tidak sensitif lagi; sebab lama-lama kita juga akan merasakan benda tu dah biasa.

Kita bandingkan, jika di surat khabar setiap hari kita didedahkan dengan kes-kes jenayah seperti merompak, samun, rogol dan membunuh; kita akan rasakan jenayah itu seperti sesuatu yang biasa.

Pentingnya untuk menjaga hati, supaya sentiasa sensitif dengan syariat agama. Pentingnya untuk bersahabat dengan orang-orang yang akan mengingatkan kita kepada kebaikan dan menegur kita jika tersalah tingkah atau langkah.


Cinta hakiki



Sahabatku sayang, andai dirimu membaca tulisan ini, tolonglah doakan diri ini kuat di sini. Doakanlah supaya diri ini istiqamah dalam perjuangan. Wahai sahabatku sayang, ingatlah bahawa cinta yang hakiki itu adalah mencintai Dia yang Maha Hidup.

Carilah cinta Dia sebelum kita yang masih rapuh ini mencari cinta manusia yang tidak kekal. Cintailah ilmu, matlamat utama kita menuju ke sini.

"Allah menghantar kamu ke sana kerana Dia tahu, kamu kuat untuk menghadapi apa yang ada di sana."





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...