Sunday, December 5, 2010

Kasih Nan Agung




Tajuk : Kasih Nan Agung

Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop

Terbitan : Utusan Publications & Distributors (www.ujanailmu.com)

Harga : RM 19.00



Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Bicara tentang buku. Buku ini telah memenangi tempat pertama dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2008 bagi kategori novel remaja. Wah, rezeki beliau nampaknya semakin mencurah-curah sejak akhir-akhir ini. Bagi tahun 2009 pula, novel beliau yang bertajuk Impuls/Roh juga telah memenangi tempat pertama dalam HSKU. Mungkin jika ada kesempatan, saya akan meresensikan buku itu juga sebab sekarang saya belum baca lagilah buku terbaru beliau tersebut.

Sinopsis;

NASKHAH Kasih Nan Agung menampilkan watak wira unggul Jaka Sulaiman Awang Safar yang menuntut jurusan paleoantropologi tahun akhir di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat.

Watak ini dibina dengan ketajaman fikiran dan kefasihan lisan yang perkasa menentang segolongan ahli akademik di universiti itu yang mendukung teori evolusi Charles Darwin.

Penyuguhan falsafah metarialisme yang cuba diindoktrinkan oleh warga akademik itu cuba dicabar oleh Jaka Sulaiman sehingga dirinya sendiri terjerat dan diheret ke kancah konflik yang berlarutan.

Tindakan kontradik Jaka Sulaiman menyebabkan dia ditembak oleh Maximilian Blake yang merupakan salah seorang pendukung Darwinisme.

Melalui kaedah wacana argumentatif dan keutuhan pegangan Jaka Sulaiman dalam melawan hegemoni ilmu Barat, dia berjaya meruntuhkan teori evolusi Darwin secara ilmiah dengan pendekatan ilmu Islam.

Kehadiran watak Jaka Sulaiman bersandarkan wahyu Allah berjaya menenggelamkan dominasi Barat dalam mempertahankan falsafah mereka yang batil dan berselindung di sebalik hujah-hujah palsu serta mengelirukan.

Novel yang memenangi tempat pertama HSKU ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembacaan yang menyeronokkan malah mampu membuka luas horizon keilmuan.

Kalangan remaja yang menjadi sasaran pembaca utama novel ini dapat meneroka suatu ruang baharu, sekali gus menjadikan mereka sentiasa bersikap terbuka dengan kehadiran ilmu yang bermanfaat.

Sumber - Utusan Malaysia



______________________________________________________________________

sinopsis belakang kulit buku;


Kalau moyangmu mawas, datukmu beruk,
siapakah itu Adam dan Hawa?

Mahukah kau dikatai benda
kerana yang ghaib didakwa tiada, dan
kata "Tuhan" dituduh kosong makna?

Hendaknya kau andai wujudmu ditarafkan setara barang
umpama sepasang baju atau sebatang pokok
atau sebuah komputer atau sebutir bom
atau seketul daging, semata-mata?

Fitrah manusiawimu tentu dapat menimbang
di balik otak ada akal, di balik jasad ada jiwa
dan di hujung hidup ada fana.

Tidakkah kasihan,
otak nan cerdik sampai merumuskan
jurai leluhurmu berevolusi daripada salasilah kera!




Buat penulis; terima kasih untuk naskhah berharga ini.







1 comment:

  1. Salam Miss H.'

    Terima kasih kerana sudi membaca KNA.Saya amat menghargai.

    Sri Rahayu Mohd Yusop

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...