Wednesday, July 18, 2012

Moga Rohmu Tenang Di Sana

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Sejurus pagi tadi saya mendapat berita yang menggetarkan hati. Ketika itu berada di dalam PTAR untuk Hands on Training. Cell phone bergetar menandakan mesej masuk. Daripada Hajar.

Cikgu Rohaya telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Al-Fatihah.

Terkedu. Hati mempertikai. Betul ke? Sahih ke berita ni? Tup tup, handphone saya mati kerana kehabisan bateri, tidak sempat hendak membalas mesej untuk bertanya lebih lanjut. Mata terasa basah. Fokus di dalam Pusat IT di perpustakaan itu dicuri dengan berita yang baru diterima.

Seribu pertanyaan menusuk ke minda bertalu-talu. Cikgu meninggal? Kenapa? Sakitkah? Accident? Atau ada kaitan dengan pembedahan tahun lepas yang cikgu hadapi tu?

Kemudian memori-memori lalu bersama Cikgu menerpa.

Pernah suatu ketika pada tahun lepas, saya berjumpa dengan Cikgu untuk mengadu dan meminta nasihat untuk membahagikan masa antara tugas dan akademik. Cikgu Rohaya ni guru kaunseling sekolah. Hubungan saya dan arwah rapat, sejak saya tingkatan 3 lagi. Arwah merupakan guru pengiring pasukan catur sekolah dan saya salah seorang daripada ahli tersebut.



Ketika tingkatan 4, bilik UBK (Unit Bimbingan dan Kaunseling) hanya satu bangunan dengan kelas saya, jadi sering sahaja singgah untuk berjumpa dengan Cikgu Rohaya. Masya-Allah, Cikgu Rohaya sangatlah baik dan lembut bicaranya; semua pelajar menyenangi diri arwah. Sangat soft spoken. Sepanjang saya mengenali arwah, saya tidak pernah nampak beliau dalam kondisi yang marah-marah atau bad mood atau baran.

Berbalik kepada cerita tadi, saya pergi berjumpa dengan Cikgu Rohaya, yang seperti ibu kedua bagi saya. Pada waktu itu telah berlalunya Ramadan (sama ada sedang atau selepas Ramadan) dan Cikgu telah selamat menjalankan pembedahan. Kata Cikgu, seperti ada ketumbuhan di dalam perutnya, suspek kanser. Saya ingatkan hanya ketumbuhan biasa, kerana selepas selesai pembedahan, cikgu tidak memaklumkan apa-apa.

Apa yang paling saya ingat sekali pada hari tu bila cikgu tiba-tiba mengungkapkan "Ramadan kali ini banyak membawa erti dan mengajar Cikgu sesuatu. Sebab Cikgu tertanya-tanya, sempatkah Cikgu bersama dengan Ramadan yang akan datang?".

Sebak semakin terasa apabila memori di atas diimbau kembali saat saya membaca mesej bahawa Cikgu Rohaya telah meninggal. Kerana peristiwa tersebut baru sahaja berlaku pada tahun lepas. Dan beliau meninggal beberapa hari sebelum Ramadan. Awal tahun ini, saya berjumpa Cikgu buat kali terakhir di hadapan Giant; Cikgu ingin memberikan sijil jawatan catur kepada saya. Waktu itu jika tidak silap, cikgu baru sahaja balik dari hospital. Saya ingatkan apabila cikgu beritahu yang "tidak sihat sikit" itu bermaksud cikgu macam demam-demam biasa. Rupanya cikgu sedang menderita kanser usus tahap 4.

Setiap orang akan merasai mati.

"Dan (ingatlah) Allah tidak akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan." ~ [Al-Munafiqun:11]


Ya Allah, moga Cikgu Rohaya ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.



#Bilakah waktu itu akan tiba padaku?



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...