Thursday, December 30, 2010

Zahrah de Tigris

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Sudah lama rasanya tidak bicara tentang buku..!! Jadi pada kali ini inche Hannah mahu bicara tentang sebuah novel yang berlatar belakangkan tanah berdarah di Iraq. Saya beli novel ni di Pesta Buku awal tahun ini di TTC. Atau mungkin lebih tepat saya beli daripada Raish yang baru sahaja membelinya di sana. Ya.



TAJUK : ZAHRAH de Tigris


PENULIS : Khairyn Othman


TERBITAN : Jemari Seni (www.jemariseni.com)


HARGA : RM 20.00





Sudah lama sebenarnya hasrat hati ingin membeli naskhah ini. Alhamdulillah, niat dimakbulkan jua. Yalah, bukannya senang hendak membeli novel keluaran Jemari Seni. Kalau dulu-dulu suka sangat beli melalui pos. Tapi sekarang sudah rasa malas nak berulang-alik ke pejabat pos, tambah-tambah duduk di asrama.


Novel ini berkisahkan seorang wanita yang degil dan lasak; Khairunnisa si Kembang Tigris. Merupakan seorang penuntut ilmu di tanah ratu, yang menyertai sukarelawan menuntut kebebasan untuk negara umat Islam yang masih dalam keadaan perang. Selesainya selama empat tahun belajar di perantauan, Khairunnisa terbang pula ke tanah berdarah di Iraq, untuk menabur bakti sebagai pendidik untuk anak-anak yang kehausan ilmu akibat perang yang telah meruntuhkan sekolah-sekolah mereka.


Malangnya si Nisa ini tidak dapat bertugas apabila selesai sahaja tiba ke sana kerana sekolah tersebut telah diletupkan. Jadi, sementara menunggu sekolah itu dibina semula, Nisa bekerja sebagai jurubahasa di sebuah hospital. Di sinilah Nisa mengenali Maura, rakan sebiliknya, Dr. Mark dan Dr. Patrick Devereux. Di sinilah Nisa mengenal rapat dengan penduduk Iraq, dan suasana perang yang dihujani bedilan peluru dan mortar pada malam-malam tertentu.



Saya petik sinopsis di belakang kulit buku;



Zahrah de Tigris… adalah Khairunnisa Si Kembang Tigris…

Anak gadis dari Malaysia yang menuntut di Tanah Ratu ini, memang degil orangnya. Dilarang makin keras, dirayu pula makin tegar. Dia berkelana bersendirian mencari sebuah cinta. Cinta yang paling hakiki: cinta Rabbul Izzati.
Nisa pasrah menerokai sebuah kota yang pernah menjadi puncak peradaban Islam suatu waktu dulu. Kota Baghdad yang pernah terkenal dari masyrik ke maghrib itu sedang berantakan: dihamburi mortar dan peluru. Cerita pilu, Kota Negeri Seribu Satu Malam itu menjadi Kota Ngeri Seribu Satu Malam.
Menjadi guru dan jurubahasa, membuatnya mudah memahami budaya orang-orang di Lembah Tigris. Begitu sudah di situ lain pula ujiannya; dia terpaksa keraskan jiwa, kuatkan semangat tetapi perlahan-lahan hati perempuannya diketuk jua. Namun cinta mereka tak mungkin bersatu kerana Doktor Patrick Devereux, seorang ateis.

Hayatilah sebuah novel adventure-spiritual daripada penulis yang pernah menjadi Wartawan Terbaik Bahasa Inggeris 2003. Sebuah cerita, yang harus dihayati oleh siapa sahaja yang cintakan kemanusiaan sejagat.





Oh ya, penulis telah melancarkan buku barunya tahun lepas.. Tajuknya Dame Zoete Sarah. Jika ingin tahu dengan lebih lanjut, layarilah laman web Jemari Seni.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...