Tuesday, November 30, 2010

Warisnya Kalbu

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Kali ini entri tentang resensi buku daripada penulis yang berbakat yang saya kagumi; Sri Rahayu Mohd Yusop. Saya telah membaca buku-buku beliau yang sering sahaja memenangi anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan(HSKU) bagi kategori novel remaja. Saya telah membaca novel-novelnya yang lain seperti Bukan Legasi Lalang (memenangi tempat pertama HSKU tahun 2000), Merdekakan Cinta Ratna (tempat ketiga HSKU tahun 2002), Odisi Tanah Kenchana (tempat kedua pada tahun 2006) dan muncullah karya terbaru beliau, Warisnya Kalbu yang memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan(HSKU) tahun 2007.



TAJUK: Warisnya Kalbu

PENULIS: Sri Rahayu Mohd Yusop

TERBITAN: Utusan Publications & Distributors (www.ujanailmu.com)

HARGA: RM 18.00

Sinopsis 'diculik' dari www.ujanailmu.com;

Hassan Basri dan 11 rakan sekolahnya menghadiri ujian pemilihan peserta untuk mewakili sekolah dalam pertandingan berbalas pantun yang dikendalikan oleh guru mereka, Puan Rabiatul Adawiyah. Dalam ujian tersebut Khadija, gadis kacukan Inggeris-Melayu mengungkapkan pantun yang dipetik daripada buku R. Winstedt, manakala Hassan basri memetik karya asli yang terdapat dalam buku catatan harian Cempaka, anak Orang Kaya Berlapan di Pahang yang bertarikh 1277 Hijriah.

Pada hari pemilihan, Hassan Basri dan Khadija adalah antara empat peserta yang diumumkan berjaya. Walaupun pada awalnya usaha murni mereka dipersendakan oleh ahli keluarga, mereka tetap gigih menjalani latihan. Mereka turut menjalankan penyelidikan untuk memahami dan menghayati keistimewaan pantun daripada sumber yang autentik. berdasarkan catatan sejarah dan kaedah mengarang pantun yang diwarisi, mereka dapat mendalami kebijaksanaan seni mengarang pantun Melayu.

Karya yang disarati ilmu tentang pantun ini mengungkapkan usaha sekumpulan pelajar untuk melestarikan khazanah seni warisan Melayu.

"Warisnya Kalbu" merupakan karya pascakolonial tentang pandangan balas yang mengutamakan keunggulan peribumi dan lokaliti. Dua budaya bertentangan, dicairkan, dan imej-imej perkasa Barat ditenggelamkan, serta dinyahkan dari persada paksi kuasa.

* * *

Sinopsis daripada saya sendiri;

Hassan Basri telah kehilangan datuknya sebelah ayah yang telah meninggal dunia. Keluarganya pergi ke rumah arwah datuknya itu untuk mengemaskan apa yang patut. Sewaktu Hassan Basri memunggah buku-buku peninggalan arwah datuknya untuk dialihkan, Hassan Basri tertarik dengan sebuah buku yang berbeza dengan buku-buku di rak tersebut lantas meminta izin dengan ayahnya untuk memiliki buku tersebut. Buku itu merupakan sebuah jurnal milik Tun Cempaka anak Orang Kaya Berlapan di Pahang yang bertarikh 1277 Hijriah.

Hassan Basri mempunyai minat untuk menyertai pertandingan pantun peringkat sekolah dan semasa sesi audisi dijalankan, dia terpilih bersama dengan 3 rakan yang lain iaitu Khadija- gadis kacukan melayu-inggeris, Xian Rong dan Ruhana.

Jurnal milik Tun Cempaka itu pula berkisar tentang catatan hariannya menemani abangnya, Tun Hassan Perwira dalam mengajar Katherine Cavenagh, anak saudara Gabenor Cavenagh di Pahang untuk mempelajari pantun. Katherine Cavenagh- yang fasih berbahasa melayu itu ingin mempelajari pantun dan telah menterjemahkan beberapa pantun bahasa melayu di dalam bahasa inggeris.

Khadija, rakan Hassan Basri pula mempunyai sebuah buku yang kulit luarannya sama seperti catatan harian Tun Cempaka yang dimiliki oleh Hassan Basri. Buku itu merupakan buku peninggalan neneknya yang atas; turun-temurun. Isi di dalamnya merupakan suatu terjemahan pantun di dalam bahasa inggeris.

Telusurilah kisah catatan Tun Cempaka dan juga perjalanan Hassan Basri dan rakan-rakannya untuk mempelajari dan memahami pantun untuk menciptakan suatu pantun yang baik mutunya!


* * *


Komen saya? Ya, buku ini memang harus dibaca! Sememangnya novel-novel daripada beliau tidak pernah menghampakan saya. Dengan bahasanya yang puitis, jalan cerita yang menarik dan lain daripada yang lain menyebabkan saya tidak puas jika hanya membaca sekali sahaja karya beliau.

Novel ini berperihalkan warisan melayu yang tidak pernah luput dek zaman iaitu pantun. Apabila saya membaca novel ini, sekali gus saya mempelajari tentang selok-belok pantun. Apabila mengetahui 'cara sebenar' untuk mencipta pantun, barulah saya sedari rupa-rupanya bukan mudah untuk mencipta pantun sebenarnya. Biar saya selitkan sedikit hamparannya di sini;

"Ada kelemahan ketara pada pembayangnya, iaitu sampiran ditulis hanya untuk memenuhi keperluan rima. Sampiran sepatutnya harus dapat membayangkan maksud, bukan diwujudkan semata-mata untuk mengisi keperluan bunyi bersanjak."

Maknanya, pembayang bagi pantun bukannya boleh mereka apa-apa sahaja untuk samakan rima belakangnya. Barulah saya terfikir dan tersenyum sendiri. Juga terdapat terjemahan pantun bahasa melayu dialih dalam bahasa inggeris oleh Katherine Cavenagh, gadis barat yang mempelajari pantun daripada Tun Hassan Perwira.

Ke darat menebang juak tukas,
Tukas kutebang tepi jeraya,
Laksana dakwat dengan kertas,
Samalah hancur sama binasa.



Terjemah;


Felling palm trees up river is a torment,
Palm trees fell on a path near,
Like ink embedded in parchment,
One indistegrate, another disappear.


Hebat bukan? Berapa bintang saya ingin berikan ya? Saya rasa tidak terkira bintang yang ingin diberikan. Yang pastinya, novel ini sarat dengan ilmu dan berbaloi untuk berada di dalam koleksi buku kita.

Apa yang saya perhatikan, novel-novel beliau pasti akan ada juga diselitkan kisah-kisah zaman lampau atau sejarah yang berkait. Di dalam 'Bukan Legasi Lalang' dikisahkan tentang keturunan Hang Jebat yang menjadi tukang penghikayat cerita, untuk membersihkan nama Hang Jebat yang dituduh penderhaka sultan. 'Merdekakan Cinta Ratna' pula tentang pelajar-pelajar tingkatan enam atas di sebuah sekolah akan mementaskan sebuah sketsa yang berhubung kait dengan zaman kepahlawanan Melaka. 'Odisi Tanah Kenchana' pula tentang Raden Inu yang belayar di lautan mencari Tuhan. Anda pasti telah membaca hikayat Raden Inu yang menghadiahkan dua buah patung, sebuah patung diperbuat dari emas yang dibalutkan dengan kain kapas dan sebuah patung lagi diperbuat daripada perak yang dibalut dengan kain sutera. Di dalam buku teks KOMSAS tingkatan 3 ada diselitkan hikayat ini.


Satu lagi pantun ya, boleh?


Deram-derum ombak di laut,
Sampan karam di kolam mawar,
Jika belum ajal dan maut,
Racun ditelan jadi penawar.



Terjemah;


Waves at sea crash right and left,
A small boat will capsize for sure,
If fate dictates wounds shall not cause death,
The most cruel of poisons shall be a cure.



p/s; Saya telah meresensikan novel beliau yang lain iaitu 'Merdekakan Cinta Ratna' di dalam blog friendster saya. Beliau telah memberi komen di
sana! Gembiranya tidak terkata apabila penulis seperti beliau sudi meninggalkan pesan di sana!


Wallahu'alam.


Wassalam.

Monday, November 29, 2010

Wajah Baru~!

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, akhirnya sudah 'selamat' berhijrah ke daripada blogdrive ke blogspot. Sebahagian posts di blog lama telah saya pindahkan ke sini dengan mengekalkan tarikh yang sama. Nampaknya kena sesuaikan diri untuk menaip di tempat baru ni. Sebelum ini belum pernah lagi guna blogspot. Hanya bermain sekitar wordpress dan blogdrive. Akhir-akhir ini blogdrive buat hal. Jadi terlalu sukar untuk update. Insya-Allah, dengan penghijrahan baru ini moga-moga urusan di sini dipermnudahkan-Nya. Amin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...