Wednesday, October 13, 2010

Zikir-zikir Cinta




TAJUK : Zikir-zikir Cinta

PENULIS: Anam Khoirul Anam

KELUARAN: PTS Litera

HARGA : RM 26

Bismillah.

Assalamualaikum w.b.t.

Raya telah berakhir. Duit raya pula menimbun
Shocked. Hehe. Singgah sebentar ke Pustaka Seri Intan dengan niat untuk membeli novel terbaru yang keluar di pasaran, Hijab Sang Pencinta hasil nukilan Ramlee Awang Murshid. Namun apabila ditanya, HSP telah sold out. Sekarang sedang menunggu hantaran yang terbaru. Kecewa sungguh rasanya. HSP (Hijab Sang Pencinta) merupakan pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu kini sedang mencapai tahap best seller di ruang kedai-kedai buku terbesar.

Sementelahan itu, saya mencari novel lain untuk dibeli. Saya mencari keluaran Jemari Seni tetapi tiada. Akhirnya mata saya tertancap pada novel ini; Zikir-zikir Cinta keluaran PTS Litera. Di kulit hadapannya tertera 'Indonesia Best Seller'. Tanpa berfikir dua kali, saya mencapainya dan membaca sinopsis belakang. Harganya membuatkan hati saya sedikit tergugat untuk membelinya(menjangkau budget yang sepatutnya). Namun akhirnya saya membelinya juga.

Apabila membacanya, apa yang saya dapat memberi ulasan ; setakat 'bolehlah'. Tidak lebih dari itu. Daripada 5 bintang, saya akan memberinya 3.5 bintang. Saya suka akan gaya bahasa yang digunakan oleh penulis. Puitis sekali gaya metafora dan personifikasi yang digunakan. Gambaran yang diberikan tampak hidup. Jujur, saya lebih suka penerangan daripada dialog yang berjela-jela seperti kebiasaan novel yang lain.

Buku ini mengisahkan tentang percintaan di sekolah pondok. Watak utama, Rusli merupakan anak yatim yang bersekolah di sekolah pondok atau pesantren. Dia berpindah ke sekolah pondok yang baru dan cuba menyesuaikan dirinya. Dalam perkenalannya, seorang kenalan cuba mengajarnya 'Ilmu Pelepasan Sukma'. Ilmu ini membolehkan roh atau jiwa mereka keluar dari jasad pada sebelah malam. Rakannya itu menggunakan ilmu itu untuk melakukan seks jiwa sesama jiwa dengan gadis yang dipilihnya. Rusli menentang keras perbuatan rakannya itu kerana menganggapnya berzina. Namun kata rakannya, hanya jiwa, bukannya jasadnya. Rusli ingin mengetahui setakat mana kebenaran ilmu yang dikatakan oleh rakannya lalu melakukan segala pantang-larang untuk mendapat ilmu itu.

Dia harus memilih seorang gadis untuk melakukan ilmu itu dan secara tidak sengaja dia telah melihat seorang gadis cantik di asrama perempuan. Rusli memilih perempuan itu. Pada malamnya, dia telah berasa benarnya kata-kata temannya itu. Dia melayang dengan jiwanya itu mencari gadis itu di asrama. Belum sempat dia melakukan apa-apa, gadis itu terkejut bangun. Gadis itu menuju ke bilik air dan mengambil wuduk. Lantas gadis itu menunaikan solat malam. Disusuli dengan bacaan al-Quran dengan suara yang sangat merdu. Rusli begitu asyik mendengar bacaan gadis itu sehinggalah azan Subuh berkumandang.

Sejak itu, setiap malam dia melakukan pelepasan jiwa hanya untuk mendengar bacaan al-Quran daripada gadis itu. Di samping itu, dia juga sering melakukan solat malam atas semangat yang dirasakan kepada gadis itu. Sehinggalah pada suatu hari, dia berasa berdosa atas perbuatannya itu.

Hinggalah pada akhirnya dia diminta oleh Kiai Mahfuz, kiai pesantren itu untuk mengajar qiraah untuk pelajar muslimat pesantren itu. Dia kaget, sekali gus berdebar. Dia pasti dia akan bertemu dengan gadis itu. Rusli diminta untuk mengajar qiraah kerana suaranya merdu sekali dan merupakan orang kepercayaan Kiai Mahfuz.

Akhirnya dia kenal gadis itu. Namanya Sukma. Ternyata cintanya tidak bertepuk tangan. Fatimah, anak gadis Kiai Mahfuz dalam diam menaruh hati kepada Rusli. Hatinya hancur apabila mengetahui bahawa Rusli meminati seorang gadis yang bukan dirinya.

__________________________________________________________________


Daripada pengamatan saya;

+ buku ini terlalu meng'agung'kan cinta. Tampak seolah-olah cinta mereka terlalu...er... nak kata macam mana ek? Tapi ya, ter'jejas' sedikit ciri Islamiknya.

+ watak-wataknya tampak sempurna terus. Rusli seorang peria yang kacak dan berakhlak. Sukma dan Fatimah pula dua-duanya cantik dan anggun. Memangnya di dunia ini watak-watak sempurna itu hanya untuk orang yang cantik-cantik sajakah?

+ saya kurang setuju dengan Kiai Mahfuz yang menyuruh Rusli menemani Fatimah untuk ke klinik atau ke mana-mana sahaja. Jika ditemani dengan mahram, ya, tak apa-apa. Tetapi ini berdua sahaja. Juga dengan pertemuan diam-diam antara Rusli dan Sukma yang jelas berdua-duaan di tempat yang tertutup.

+ tetapi saya suka gaya bahasa penulis. Puitis bagi pengamatan saya. Corak alam..


Bagi penggemar novel hasil nukilan penulis ini, yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, saya mohon maaf. Tapi ya, yang haram itu jelas saja haram kan?

Wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...